KUALA LUMPUR – Permohonan representasi (rayuan) yang dikemukakan penyanyi rock dan pelakon, Awie untuk mengkaji semula pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun pada dua tahun lalu telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar memaklumkan keputusan tersebut kepada peguam bela Awie, Hazman Harun di hadapan Majistret Husna Dzulkifly di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Sehubungan itu, Husna memerintahkan agar tarikh perbicaraan kes berkenaan dikekalkan pada 10 dan 11 Mei ini.
Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman (gambar), 48, tidak hadir pada prosiding tersebut dengan kebenaran mahkamah kerana sedang menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 di Thailand.
Pada 15 Februari lalu, Awie yang merupakan vokalis kumpulan rock, Wings mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.
No comments:
Post a Comment