Translate

Wednesday, April 18, 2018

DUN Perak dibubar penuh istiadat

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzudin Shah memberikan perkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Baginda menzahirkan perkara tersebut pada satu istiadat di Istana Iskandariah di sini semalam. Istiadat yang pertama kali diperkenalkan itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran disusuli titah Sultan Nazrin dan bacaan doa oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah turut berangkat ke istiadat tersebut.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ahmad Puhat Mat Nayan.

"Setelah menimbangkan permohonan tersebut, berpandu Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, beta memberi perkenan Dewan Undangan Negeri Perak ke-13 dibubarkan berkuat kuasa hari ini, 9 April 2018 (semalam)," titah baginda.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu, 7 April bagi memberi laluan kepada PRU-14.

Sementara itu, di Shah Alam, Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembubaran DUN Selangor berkuat kuasa semalam.

Beliau membuat pengumuman itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu istiadat di Istana Alam Shah, Klang pagi semalam.

Mohamed Azmin berkata, Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan DUN dibubarkan berkuat kuasa semalam seperti yang diperuntukkan dalam Fasal (2) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mohamed Azmin berkata, notis pembubaran DUN seperti mana diperkenankan Sultan Selangor diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

Sementara itu di Kuala Terengganu, DUN Terengganu bagi penggal ke-13 dibubar secara rasmi berkuatkuasa semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi pembubaran DUN negeri tersebut setelah menghadap baginda di Istana Syarqiyyah, Chendering dekat sini pada pukul 10.20 pagi.

Beliau kemudiannya menyerahkan watikah pembubaran DUN Terengganu yang diterimanya daripada Sultan Mizan kepada Yang Dipertua DUN negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong.

Watikah itu kemudiannya diserahkan kepada Pengarah SPR Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry.

Dalam pada itu, di George Town, Pulau Pinang, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan pembubaran DUN Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu beliau menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara di sini pada pukul 8.30 pagi bagi mendapat perkenana pembubaran DUN Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment