Translate

Monday, June 28, 2021

TDM catat keuntungan RM9.6 juta

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM9.6 juta bagi tahun kewangan 2020.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, prestasi kewangan itu merupakan terbaik bagi tempoh empat tahun setelah merekod kerugian RM96.8 juta pada 2017, RM36.6 juta (2018) dan RM40.4 juta (2019).

“Walaupun melalui tahun 2020 yang mencabar ekoran pandemik Covid-19 yang mempengaruhi operasi sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM berjaya beradaptasi dengan rancangan perniagaan strategik.

“Hasil TDM pada tahun kewangan 2020 meningkat 4.2 peratus kepada RM442.9 juta berbanding RM425.1 juta pada tahun sebelumnya,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TDM ke-56 di sini hari ini.

AGM yang dilangsungkan secara online itu dipengerusikan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif TDM, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.


Najman berkata, prestasi memberangsangkan TDM pada tahun lalu banyak disumbang oleh bahagian perladangan berikutan harga minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang tinggi selain kurang gangguan kepada pengeluaran.

Begitupun, beliau mengakui bahagian penjagaan kesihatan mengalami penurunan jumlah pesakit di hospital biarpun pandemik Covid-19 kini pada fasa pemulihan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment