Translate

Monday, June 21, 2021

KPDNHEP keluar kompaun RM2.94 juta, peniaga langgar SOP

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan 473 kompaun kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) norma baharu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kompaun yang dikeluarkan terhadap peniaga sehingga semalam itu melibatkan amaun keseluruhan RM2.94 juta.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada penjarakan fizikal, tidak mengimbas MySejahtera, tidak menulis rekod kemasukan pelanggan di buku log dan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan.

“Kesalahan lain ialah gagal melaksanakan had maksimum kemasukan pelanggan, tidak mematuhi waktu operasi dan tidak memakai pelitup muka.

“Saya ingin tekankan mengeluarkan kompaun bukanlah keutamaan KPDNHEP. Ia tindakan terakhir selepas advokasi yang diberikan diberikan terlebih dahulu tidak dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni anggota keselamatan yang mengawal sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tajin di sini hari ini.

Rosol berkata, secara dasarnya, rata-rata peniaga di negara ini amat mematuhi SOP norma baharu ditetapkan dengan kadar pematuhan setinggi 98 peratus.

Begitupun, beliau mengakui terdapat dua peratus golongan tersebut yang masih berdegil dan culas mematuhi SOP terbabit walaupun telah berkali-kali dinasihatkan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment