Translate

Wednesday, June 2, 2021

Menteri Besar Terengganu, Exco sumbang sebulan gaji

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu termasuk Menteri Besar bersetuju untuk memotong gaji mereka selama sebulan untuk disalurkan ke dalam Tabung Covid-19 negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjawat awam negeri itu turut menyumbang ke dalam tabung berkenaan menerusi pemotongan elaun.

Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu turut mengumumkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) bagi mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat negeri tersebut yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai semalam.

“Program Berkat 3.0 yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM6.4 juta akan dilakukan secara bersasar.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu akan menerima RM200,00 dan ia diagihkan secara dua fasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga bersetuju untuk menangguhkan sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan selama dua bulan sehingga Julai depan.

Jelas beliau, penangguhan sewaan itu tertakluk kepada premis perniagaan yang terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan PKP penuh selain kadar sewaannya tidak melebihi RM5,000 kecuali tapak menara telekomunikasi.

“Peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment