Translate

Thursday, June 3, 2021

Jari budak perempuan tersepit tombol pintu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang budak perempuan terpaksa menahan kesakitan lebih 45 minit selepas jari telunjuk kirinya tersepit dengan tombol pintu bilik rumahnya di Kampung Bukit Payung di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dalam keadaan tombol pintu tersebut masih berada pada jarinya.

Penyelia Operasi Balai Bomba Jalan Kota, Faizal Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan jari telunjuk mangsa yang tersepit dengan tombol pintu berkenaan.

Beliau berkata, difahamkan mangsa bermain dengan tombol pintu salah sebuah bilik di rumahnya sebelum jari telunjuknya tersepit.

“Ibu dan ibu saudara kanak-kanak perempuan berkenaan mengambil masa kira-kira 15 minit cuba mengeluarkan jari mangsa daripada tombol pintu itu tetapi gagal.

“Mereka kemudian membawa mangsa ke HSNZ sebelum pakar perubatan hospital itu menghubungi bomba untuk meminta bantuan,” katanya di sini hari ini.

Faizal berkata, jari mangsa berjaya dikeluarkan daripada tombol pintu tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

Jelas beliau, operasi bantuan tersebut agak mencabar kerana tombol pintu itu agak tebal dengan mempunyai dua lapisan besi. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment