Translate

Friday, June 4, 2021

Ayam tak laku angkara lockdown

 Oleh MOHD AZLI ADLAN, MOHD SHARKAWI LONDING, NOOR HASLIZA NUSI dan TOREK SULONG

PETALING JAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Selasa lalu yang menyebabkan banyak sektor diarahkan tutup didakwa menjadi punca ayam segar dan proses tidak laku.

Lebih membuatkan peniaga resah apabila ramai pekerja diarahkan bekerja dari rumah, sekolah-sekolah ditutup selain masa operasi premis perniagaan dihadkan sepanjang PKP Penuh.

Walaupun dijual pada harga serendah RM6.90 sekilogram iaitu perbezaan sebanyak RM1 berbanding musim perayaan lalu, ia masih tidak dapat menarik minat pelanggan untuk membeli ayam menyebabkan ramai peniaga terbeban dan termenung kerana mempunyai lebihan stok.

Di Pasir Puteh, Kelantan, rata-rata peniaga ayam yang ditemui menyatakan keresahan mereka dengan situasi terkini itu memandangkan tempoh PKP Penuh akan berlanjutan sehingga 14 Jun ini.

Seorang peniaga ayam, Ahmad Hasbullah Ariffin, 34, berkata, pengurangan pelanggan amat ketara semalam hingga memaksa dia menutup operasi perniagaan seawal pukul 12.30 tengah hari.

“Walaupun saya jual ayam RM6.90 sekilogram untuk elak pembaziran, namun masih gagal menarik perhatian orang untuk membeli.

“Sehari sebelum PKP Penuh, bekalan ayam habis, namun berbeza hari ini (semalam). Jualan ikan di premis berhampiran turut merosot apabila bilangan pelanggan boleh dikira dengan jari,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.


Bagi Kadir Ismail, 44, pula, dia hanya dapat menjual tiga ekor ayam dalam tempoh satu jam.

Katanya, masih terdapat hampir 100 ekor ayam di premisnya yang masih belum dijual pada pukul 2 petang.

“Saya perlu ubah strategi cari pelanggan baharu atau khidmat hantar ke rumah atau secara online untuk kekal berniaga,” katanya.

Sementara itu tinjauan di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu mendapati, ayam ditawarkan pada harga RM8.50 sekilogram berbanding RM9 pada empat hari lalu.

Seorang peniaga, Ahmad Kamal Firdaus Zainuddin, 21, berkata, harga ayam standard dijangka akan turun lagi pada masa terdekat ekoran kurang permintaan dan di luar musim perayaan.

“Lebih parah mukim Kuala Terengganu termasuk Chabang Tiga berada dalam kawasan PKP Diperketat (PKPD) sehingga 12 Jun depan,” katanya.

Bagi Noorzainah Che Muhammad, 27, pula, penutupan restoran dan kedai makan ketika PKPD turut menjadi punca ayam tidak laku.

“Biasanya saya boleh jual se­hingga 200 kilogram (kg) ayam, namun sejak awal minggu ini nak dapat 100kg pun susah.

“Penjaja tepi jalan tidak dibenarkan berniaga sepanjang PKPD. Pengusaha restoran dan kedai makan pula walaupun boleh (berniaga) tetapi banyak memilih untuk tutup operasi bagi mengelak lebih kerugian,” katanya.

Di George Town, rata-rata peniaga tertekan apabila stok ayam mereka tidak terjual ekoran PKP Penuh.

Tinjauan di tiga pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati, suasana di gerai jualan ayam suram.

Peniaga, Ahmad Rani, 48, memberitahu, dia terpaksa menurunkan harga jualan ayam segar kepada RM9 sekilogram

No comments:

Post a Comment