Translate

Tuesday, June 8, 2021

Calon SPM 2021 lega, perlu masa ulang kaji pelajaran

PETALING JAYA – Pengumuman kerajaan menunda tarikh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada tahun hadapan memberi ruang kepada calon di seluruh negara untuk mengulang kaji pelajaran selepas sesi persekolahan tertangguh disebabkan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kebanyakan calon merancang menggunakan tempoh berbaki sembilan bulan itu sebaik mungkin sebelum berjuang dalam peperiksaan.

Ada juga dalam kalangan mereka yang bimbang tempoh lama itu menyebabkan calon leka.

Di Terengganu, calon SPM, Muhammad Abu Hanifah Bedul, berkata, persiapannya bagi menghadapi SPM 2021 agak mencabar kerana kebanyakan pem­belajaran dilakukan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu itu mengakui pemahamannya terhadap sebahagian topik kurang memuaskan, namun akan menggunakan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya harap dalam masa sembilan bulan ini dapat menguasai lapan subjek yang diambil untuk SPM nanti,” katanya.

Seorang lagi calon SPM, Putera Syahmi Zafran Syirfan Indra Mitra Surya, 17, berpandangan sama dan menyifatkan penangguhan itu memberi kelebihan kepadanya untuk membuat persediaan lebih rapi.

“Saya juga berharap dapat kembali ke sekolah dan belajar secara bersemuka,” kata pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang itu.

Nur Fatihah Yaakob, 17, pula berkata, dia berharap tarikh peperiksaan SPM 2021 adalah muktamad bagi mengelak emosi para calon terganggu.

Di Kedah, calon SPM dari SMK Agama Yan, Nur Izzatul Hani Harun, 17, berkata, dia berasa lega selepas dimaklumkan peperiksaan itu ditunda walaupun kecewa pembelajaran tidak dapat dijalankan secara bersemuka.

“Saya rasa lebih selesa belajar secara bersemuka kerana dapat berbincang dengan guru,” kata­nya ketika dihubungi.

Bagi calon SPM dari SMK Bedong, L. Kamachi, dia memerlukan lebih masa untuk mengulang kaji terutama subjek tingkatan empat.

Di Perak, calon SPM, Muhammad Imran Mohd. Azmi berkata, situasi yang dihadapinya ketika ini memberi cabaran berbeza dari segi persekitaran dan kemudahan pembelajaran.

“Untuk mengelakkan situasi kelam-kabut, saya membuat jadual ulang kaji supaya lebih terurus,” katanya yang merupakan pelajar SMK Anderson, Ipoh.

Bagi Hariz Iqram Mohamad Bahari pula, penangguhan SPM 2021 sememangnya mengganggu emosi calon, namun penangguhan yang dibuat Kementerian Pendidikan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya.

Di Johor, seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Farah Natasha Muhammad Fuad, 17, turut berharap dapat membuat persediaan secukupnya menje­lang Mac tahun depan.

“Sesi persekolahan tahun ini dibuka lewat (Mac) jadi memang mengganggu kerana saya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Seorang lagi calon SPM, Raja Muhammad Hanan Raja Othman berharap agar dapat kembali ke sekolah supaya lebih bersedia menghadapi SPM.

Jelas calon aliran sains tulen itu, kaedah fizikal lebih mudah kerana sekiranya ada topik atau mata pelajaran yang tidak difahami boleh merujuk terus kepada guru.

“Saya amat berharap kes Co­vid-19 akan turun menjelang Julai nanti. Bila pandemik pulih, kami dapat ke sekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment