Translate

Tuesday, June 29, 2021

Bergantung nelayan asing punca perairan sering diceroboh

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengusaha nelayan laut dalam di negara ini disaran agar mengurangkan pergantungan terhadap nelayan asing bagi mengatasi isu pencerobohan perairan negara yang sudah berlarutan sekian lama.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pergantungan terhadap nelayan asing bagi kelas laut dalam amat tinggi sehingga 90 peratus terutama di Pantai Timur.

“Kita sebagai warga negara dapat permit daripada Jabatan Perikanan, tetapi awak-awak hampir 90 peratus dari Vietnam.

“Risikan APMM (Maritim Malaysia) hanya sebahagian ikan (yang ditangkap) dibawa balik (ke jeti pendaratan), tetapi kebanyakannya di jual di tengah laut,” katanya katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu beliau memeriksa penahanan terbaharu 11 nelayan Vietnam yang ditangkap pada kedudukan 123 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu melibatkan nilai rampasan hampir RM1.5 juta.

Hamzah berkata, nilai kerugian negara berikutan hasil laut dicuri nelayan Vietnam pada tahun lalu sahaja dianggarkan kira-kira RM4 bilion.

“Kita tidak akan biarkan negara terus kerugian kehilangan hasil laut yang dicuri (nelayan asing). Operasi bersepadu melibatkan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara akan terus digerakkan untuk terus membendung pencerobohan ini,” katanya.

Kosmo! 24 Jun lalu melaporkan APMM mendedahkan ratusan bot nelayan Vietnam sedia menunggu di sempadan perairan antarabangsa untuk memasuki laut negara bagi mengaut hasil laut berkualiti tinggi milik Malaysia. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment