Translate

Friday, June 11, 2021

Lelaki didakwa hina pemimpin negara, tokoh agama

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pembantu pentadbir kewangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina pemimpin negara dan tokoh agama di media sosial lapan bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Farhan Mohd., 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menghantar komen jelik dengan niat mengganggu dan menyakitkan hati menerusi akaun Facebook, Farhan Hazard.

Dia didakwa membuat penghantaran komen itu di kumpulan Facebook Gabungan Anak Terengganu di sekitar bandar raya Kuala Terengganu pada pukul 5 petang, 20 November 2020.

Ahmad Farhan didakwa mengikut mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi sembilan minit empat saat yang menghina agama Islam dan orang Melayu tular di media sosial.

Lelaki berkenaan juga membuat kenyataan jelek terhadap Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.- K! ONLINE

No comments:

Post a Comment