Translate

Thursday, June 17, 2021

Rakyat Terengganu terima perubatan percuma di wad tiga

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu melancarkan insentif yang memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Terengganu menerima rawatan perubatan percuma di wad tiga semua hospital kerajaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, insentif yang berkuatkuasa 1 Julai depan itu melibatkan peruntukan RM37 juta setahun.

“Ia layak untuk semua rakyat Terengganu yang mempunyai MyKad berkod negeri 11, 45 dan 46 melibatkan 1,390 katil yang terdapat di wad tiga semua hospital kerajaan di negeri ini.

“Pusat perubatan yang menyediakan kemudahan perubatan percuma ini ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu; Hospital Kemaman; Hospital Dungun; Hospital Besut; Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Setiu,” katanya di sini hari ini.

Alias berkata, insentif perubatan percuma itu merangkumi caj katil dan kos makan minum serta rawatan sepanjang pesakit berkenaan menerima rawatan di wad tiga hospital terlibat.

Begitupun, beliau menjelaskan kos pembedahan implan dan pesakit wad lebih tinggi yang berpindah ke wad tiga tidak dibiayai kerajaan negeri Terengganu di bawah insentif tersebut.

“Objektif utama insentif yang terbuka kepada seluruh rakyat Terengganu ini untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan atau B40 yang sudah pasti terkesan oleh pandemik Covid-19 pada waktu ini,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment