Translate

Friday, June 18, 2021

‘Ayah sakit, tak dapat niaga pasar malam’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah nasib sebuah keluarga peniaga pasar malam yang bukan sahaja kehilangan mata pencarian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak awal bulan ini, malah ketua keluarga juga terlantar diserang strok.

Sharifah Akmarina Syed Ali, 44, yang juga ibu lapan anak berkata, suaminya, Syed Anuar Tuan Baseng, 49, tiba-tiba di­serang strok kira-kira ­se­minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu.

“Tambah membuat kami ‘terduduk’, kami tidak boleh lagi ­berniaga menjual pakaian di pasar malam sekitar daerah ini dan Kuala Nerus berikutan pelaksa­naan PKP penuh sejak 1 Jun lalu.

“Buat masa ini, saya cuba menampung kewangan keluarga dengan mengambil upah menjahit sambil dibantu anak sulung, Syed Muhammad Firdaus, 22, yang merupakan seorang tukang gunting,” katanya ketika ditemui di rumah yang dibina menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin di Kampung Teluk Pasu dekat sini semalam.

Sharifah Akmarina berkata, selain kos perubatan suaminya, yang perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, kebajikan lapan anaknya berusia antara dua hingga 22 tahun termasuk lima yang bersekolah perlu juga diutamakan.

Jelasnya, berikutan ke­adaan suaminya yang uzur itu dia kini memerlukan susu khas dan lampin pakai buang.

“Terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Kampung Te­luk Pasu yang banyak membantu menyumbang katil boleh laras, wang tunai dan sebahagian susu khas untuk kegunaan suami,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumba­ngan di akaun bank Syed Ahmad Sobri yang merupakan anak kedua Syed Anuar bernombor, 1404-1025-6127-25 (Bank Islam) atau menghubungi Sharifah Akmarina di talian 014-7015977. -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment