Translate

Monday, June 5, 2017

T-Team bawa masuk tiga pemain baru

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mendapat semula khidmat bekas pemain tengah, Mohd. Asrol Ibrahim  yang sebelum ini berhijrah ke skuad 'abang', Terengganu pada awal musim ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Penolong Jurulatih T-Team, Mohd. Azhari Salim berkata, kemasukan Mohd. Asrol, 30, bakal memperkuatkan lagi jentera tengah skuad T-Titans tersebut bagi menghadapi saingan Piala Malaysia dan Liga Super yang bakal bersambung semula pada akhir bulan depan.

"Terima kasih kepada Ketua Jurulatih Terengganu (Irfan Bakti Abu Salim) yang sanggup melepaskan Mohd. Asrol untuk kembali kepada T-Team.

"Mohd. Asrol merupakan salah seorang daripada tiga pemain tempatan yang telah dibawa masuk oleh T-Team pada jendela pemindahan pemain yang telah bermula pada pertengahan Mei lalu," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Azhari berkata, dua pemain lain ialah kapten MISC-MIFA, Ooi Shee Keong dan Syed Sobri Syed Mohamad  yang sebelum ini beraksi dengan Melaka United.

Menurut beliau, Shee Keong, 26, dan Syed Sobri, 23, yang dipinjam daripada kelab masing-masing juga bermain di posisi tengah.

"Bekas pemain import kami, Makan Konate pula bakal tiba di Kuala Terengganu esok (hari ini) untuk menjalani ujian termasuk kecergasan yang bertujuan memastikan dia benar-benar pulih daripada kecederaan dialami sebelum ini.

"Dia kemungkinan besar bakal disenaraikan sebagai pemain baru sekiranya berjaya melepasi semua prosedur ditetapkan kelak. Konate memang diharapkan dapat menyertai kami berdasarkan aksi cemerlang yang disumbangkan dia pada musim lalu," katanya.

Sekiranya Konate, 26, diserapkan dalam skuad T-Team kelak, salah seorang daripada tiga pemain import sedia ada yang kini bermain di posisi hampir sama anatara Farhod Tadjiyev, Dilshod Sharofetdinov atau Mamadou Samassa berkemungkinan besar akan digugurkan.

No comments:

Post a Comment