Translate

Friday, June 2, 2017

Ikan banyak tapi harga mahal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perikanan Terengganu mendapati berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di negeri tersebut sejak awal Ramadan ini iaitu bermula Sabtu lalu.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, kenaikan itu berlaku walaupun pendaratan ikan di negeri ber­kenaan pada waktu ini mening­kat 3.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Pendaratan ikan oleh nelayan tempatan sehingga April lalu adalah 12,824 metrik tan dengan nilai kira-kira RM76 juta. Sememangnya April hingga Jun merupakan musim ikan banyak di negara ini.

“Begitupun, harga ikan didapati meningkat antara 25 hingga 30 peratus disebabkan permintaan tinggi pada bulan Ramadan,” katanya selepas melakukan lawatan ke pusat pendaratan ikan di Pulau Kambing di sini semalam.

Zawawi berkata, permintaan tinggi itu mungkin disebabkan ramai pengguna di Terengganu memasak sendiri hidangan berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga sempena cuti sekolah pada waktu ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya senario kenaikan harga ikan di negeri ini hanya bersifat sementara dan harganya dijangka mula stabil selepas berakhirnya cuti sekolah pada dua minggu lagi.

No comments:

Post a Comment