Translate

Friday, June 2, 2017

Nekbat Mok Som dikirim ke London

BIARPUN diusahakan secara kecil-kecilan, nekbat Kelesom Abdullah atau Mok Som, 63, sentiasa mendapat sambutan menggalakkan. Bahkan, ia dianggap antara yang terbaik di Terengganu.

Pengusaha Gerai Kuih Gong Kapas berkata, Tengku Shukri Tengku Mohamad, 47, berkata, nekbat sira Mok Som mampu dijual sekitar 400 biji sehari sepanjang bulan Ramadan.

“Saya mengambil nekbat daripada beberapa pengusaha sekitar bandar raya Kuala Terengganu termasuk Mok Som sejak bulan Rejab bagi tujuan promosi menjelang bulan puasa.

“Pada bulan Ramadan, nekbat Mok Som akan dicari pelanggan dan laris dijual,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tengku Shukri yang lebih mesra dipanggil Ku Ya berkata, gerai kuihnya yang dibuka dari pukul 7 pagi hingga 6 petang menjual antara 200 dan 300 biji nekbat Mok Som sehari pada bulan Rejab dan Syaaban.

Dia yang mengambil nekbat daripada wanita warga emas itu sejak sedekad lalu menjelaskan,  jualan nekbat akan meningkat dua kali ganda setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

“Selain menjual nekbat sira, saya juga pernah mendapat tempahan nekbat kering Mok Som daripada beberapa pelanggan kelahiran Terengganu yang menetap di luar negara.

“Baru-baru ini saya telah diminta mengepos 300 biji nekbat tawar ke London, Britain. Pengirim tersebut seorang pesara yang kini menetap bersama anaknya di kota metropolis itu memberitahu, dia mahu menikmati nekbat tersebut sebagai pencuci mulut pada bulan Ramadan,” ujarnya.

Ku Ya berkata, nekbat Mok Som juga berjaya memikat selera kerabat diraja Terengganu yang menetap di Kuala Lumpur. Kerabat diraja tersebut merupakan antara pelanggan tetap kuih tradisional wanita itu.

No comments:

Post a Comment