Translate

Tuesday, June 6, 2017

Mekanik tidak sempat jual pelbagai jenis mercun

MARANG – Hasrat seorang mekanik untuk mengaut keuntungan mudah dengan menjual mercun secara haram tidak kesampaian apabila bengkel membaiki kenderaan miliknya diserbu polis kelmarin di Kampung Gemuruh, Bukit Payung di sini.

Premis tersebut diserbu polis tidak sampai dua jam selepas suspek yang berusia 43 tahun dipercayai memperoleh bekalan mercun dianggarkan bernilai lebih RM4,000.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Mohd. Ali berkata, pemeriksaan di dalam bengkel membaiki kenderaan itu menjumpai dua guni bertulisan Thailand yang mengandungi 395 biji mercun pelbagai jenis.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan jenis mercun di dalam guni berkenaan. Antaranya 35 peket mercun bola yang setiap satunya mengandungi 100 biji mercun jenis itu.

“Selain itu, mercun jenis Happy Boob, Magic Boom, Happy Boom, Spring Butterflies Small dan Fireworks Fatt Changhung Crackers turut ditemui,”  katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang di sini semalam.

Mohd. Suhaimi berkata, siasatan awal mendapati bengkel membaiki kenderaan milik suspek mahu dijadikan sebagai lokasi menyimpan dan menjual mercun itu secara haram.

Menurut beliau, lelaki berkenaan dipercayai mendapat bekalan mercun tersebut daripada seorang pembekal yang berasal dari Kuala Terengganu.
“Suspek telah dibebaskan selepas keterangannya diambil semalam (kelmarin).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment