Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima wad Unit Rawatan Rapi (ICU) medan sebagai penyelesaian peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 tahap lima sejak akhir-akhir ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, wad ICU medan mempunyai 10 katil yang lengkap dengan kemudahan kesihatan tersebut dijangka boleh mula beroperasi sepenuhnya pada minggu depan.
“Wad ICU HSNZ yang khusus untuk pesakit Covid-19 tahap lima sedia ada hanya mampu memuatkan 33 orang dan berlaku peningkatan mendadak kemasukan pesakit sejak dua minggu lalu.
“Buat masa ini, kadar kepadatan wad ICU telah telah mencapai 84 peratus dengan 28 pesakit Covid-19 kronik sedang menerima rawatan,” katanya selepas menyaksikan penyerahan wad ICU medan itu di HSNZ di sini hari ini.
Jelasnya, penerimaan wad ICU medan tersebut amat disyukuri kerana keperluannya amat mendesak buat masa ini.
Beliau percaya penambahan 10 katil bagi pesakit Covid-19 itu sudah mencukupi bagi Terengganu berdasarkan pengalaman Jabatan Kesihatan negeri menangani pandemik tersebut sejak hampir dua tahun lalu.
“Peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital pada waktu ini sudah dijangka berdasarkan beberapa indikator termasuk kebenaran rentas negeri dan peralihan Terengganu ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment