Translate

Tuesday, November 16, 2021

Pulau Tenggol miliki hutan berusia 200 tahun

 

PULAU TENGGOL yang terletak di perairan Dungun, Terengganu bukan sahaja memiliki dasar laut yang memukau malah khazanah hutan berharga. 

Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, pulau peranginan tersebut mempunyai hutan simpan seluas 540 hektar yang telah digazetkan sejak tahun 1941. 

“Sebahagian besar hutan simpan ini masih dara dan belum pernah diusik. Oleh itu amat kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna,” katanya kepada Panorama. 

Roslan berkata, Hutan Simpan Pulau Tenggol memiliki banyak spesies pokok berharga seperti balau laut, meranti, pelong, kasai, melembu dan paku aji laut.

 Tambah beliau, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan, Hutan Simpan Pulau Tenggol dianggarkan sudah berusia lebih 200 tahun. 

“Hutan simpan itu juga memiliki pelbagai spesies unggas dan ular yang tidak pernah diganggu dari habitatnya. 

“Kita juga melakukan bancian secara berkala terhadap flora dan fauna yang terdapat di dalam Hutan Simpan Pulau Tenggol ini agar terus terpelihara,” katanya. 

Roslan berkata, kelestarian khazanah alam yang terdapat di Pulau Tenggol amat dititikberat dengan hanya sebahagian kecil pulau itu dibenar untuk dibangunkan secara komersial. 

Tambah beliau, Jabatan Perhutanan Terengganu bercadang untuk melabel sebahagian spesies pokok berharga yang terdapat di pinggir hutan simpan itu bagi kemudahan pengunjung. 

“Selain membantu pelancongan pembelajaran, kita juga mahu mendidik rasa cinta terhadap flora dan fauna tersebut dalam kalangan pengunjung Pulau Tenggol," katanya.

No comments:

Post a Comment