Translate

Monday, November 1, 2021

15,200 premis perniagaan disasar tawar transaksi e-Dompet

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Redi) yang menggalakkan transaksi menerusi aplikasi e-Dompet akan diperluas kepada 15,200 premis perniagaan kecil di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, program itu disasar kepada peniaga pasar tani, pasar malam, pasar borong, restoran, medan selera, gerai, kedai runcit khususnya di luar bandar.

“Ia seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilancarkan pada 19 Februari lalu.

“Sebenarnya, Redi telah bermula di tapak Pasar Tani Presint 2, Putrajaya pada 6 April lalu namun program itu tergendala seketika ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 pada masa itu,” katanya selepas melancarkan Redi peringkat Kuala Berang di sini hari ini.

Rosol berkata, pelancaran Redi di Kuala Berang tersebut bakal merancakkan perluasan program tersebut di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain khususnya di luar bandar seluruh negara

Beliau memberitahu, transaksi menggunakan e-Dompet telah meningkat 89 peratus sebanyak RM468 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding cuma RM247 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Sehubungan itu, program Redi perlu sebagai momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama dalam kalangan pemain industri sektor peruncitan luar bandar,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment