Translate

Saturday, November 13, 2021

Perkhidmatan bot penambang, beca Terengganu diperkasa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perkhidmatan bot penambang dan beca yang menjadi ikon pelancongan negeri ini akan diperkasa pada awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, penambahbaikan itu bagi menjadikan bot penambang dan beca terus relevan dalam kalangan pelancong sesuai dengan peredaran zaman.

“Kita merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan tambahan, kaca mata realiti maya khusus buat pelanggan bot penambang.

“Kaca mata realiti maya itu membolehkan penggguna merasai pengalaman menyaksikan video tiga dimensi (3D) lokasi tarikan pelancongan di Terengganu sewaktu berada di dalam bot penambang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan bulanan sebanyak RM1,200 untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini bagi setiap 66 pengayuh beca dan pengusaha bot penambang.

Ariffin berkata, pemakaian kaca mata realiti maya itu merupakan nilai tambah kepada pelancong yang menaiki bot penambang selain menikmati panorama indah, Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbrigde).

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri Terengganu juga akan memperkenalkan beca berkuasa solar bagi menilai tambah kepada perkhidmatan tersebut pada awal tahun hadapan.

“Beca direka khas dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan mudah diselenggara dan dikendalikan.

“Walaupun berkuasa solar, ciri-ciri beca itu masih beridentitikan tradisional Terengganu,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment