SETIAP kali memperkatakan rangkaian tujuh pulau peranginan yang terdapat di Terengganu, Pulau
Perhentian dan Pulau Redang sudah pasti berada di carta teratas dalam kalangan pelancong
tempatan mahupun antarabangsa.
Tidak ramai mengenali apatah lagi pernah menjejakkan kaki ke Pulau Tenggol yang terletak di
perairan daerah Dungun dan paling selatan dalam peta negeri Pantai Timur berkenaan.
Begitupun, bagi Mohd. Ishak Abdillah Ngah, 39, pulau kecil yang tidak mempunyai penduduk tetap itu
memiliki keistimewaan tersendiri terutama buat penggemar aktiviti selam skuba sepertinya.
Anak jati Bukit Besi, Dungun
tersebut berkata, dasar laut di
perairan Pulau Tenggol yang kaya
dengan kepelbagaian hidupan akuatik
menjanjikan pengalaman indah,
damai dan mempesonakan.
“Aktiviti selam skuba merupakan
terapi saya meredakan tekanan
kehidupan. Sebab itu, sebaik sektor
pelancongan domestik di Terengganu
dibuka pada 1 September lalu, saya cepat-cepat menempah slot selaman
skuba di Pulau Tenggol.
“Saya mengulanginya semula
bersama rakan-rakan dari Lembah
Klang apabila rentas negeri pula
dibenarkan pada 11 Oktober lalu. Bagi
saya, pengalaman menyelam skuba
di dasar laut Pulau Tenggol amat
menakjubkan dan hampir menyamai
apa yang ditawarkan di Pulau
Sipadan, Sabah,” katanya kepada
Panorama ketika ditemui baru-baru
ini.
Menceritakan pengalamannya
berselam skuba di dasar Laut China
Selatan berhampiran Pulau Tenggol,
Mohd. Ishak Abdillah tidak dapat
melupakan pengalaman sulung
dirinya terserempak dengan seekor
pari gergasi atau Manta Ray beberapa
tahun lalu.
Bapa kepada seorang anak
perempuan itu memberitahu, pada
mulanya dia agak panik menyaksikan
persekitaran menjadi gelap sewaktu
sedang asyik memerhati terumbu
karang dan lintah bulan berwarna-warni.
“Mulanya ingatkan hujan lebat menyebabkan permukaan laut gelap
tetapi rupa-rupanya disebabkan
kelibat seekor Manta Ray sebesar
dua meja makan yang kemudiannya
berenang menghampiri kumpulan
penyelam skuba termasuk saya.
“Panik saya, namun penyelia selam skuba yang mengikuti kami memberi
isyarat agar bertenang dan nikmati
sahaja. Terkesima saya dengan
kebesaran Allah,” ujarnya.
Tambahnya, berenang bersama
kumpulan ikan selar dan tenggiri
bersaiz besar, bermain dengan
penyu dan ikan badut atau nemo
serta menerokai bangkai kapal yang
telah ditenggelamkan sebagai tukun
tiruan merupakan pengalaman
menyeronokkan sepanjang menyelam
skuba di dasar laut perairan Pulau
Tenggol.
“Satu sahaja yang saya belum lagi
berkesempatan iaitu bertembung
dengan ikan yu paus yang dikatakan
berada di perairan pulau ini pada
sekitar Julai hingga September
setiap tahun. Pulau Tenggol bagi saya
bagaikan permata tersembunyi,”
katanya.
Seorang lagi penyelam skuba, Noor
Fadzli Shah Noor Hashim, 42, yang
berasal di Bukit Chedang, Seremban,
Negeri Sembilan pula berkata,
Pulau Tenggol yang hanya memiliki
tiga pengusaha resort merangkap
pengendali kemudahan selam skuba
yang menawarkan percutian eksklusif
dan mendamaikan.
Pengerusi pertubuhan bukan
kerajaan, One Malaysia Drivers itu
berkata, Pulau Tenggol merupakan
antara destinasi selam skuba yang
ideal bagi penyelam skuba dari
Lembah Klang kerana perjalanan ke
pulau peranginan itu cuma memakan
masa kira-kira tiga jam setengah.
“Perjalanan ke Pulau Tenggol
dengan menaiki bot dari jeti Kuala
Dungun pula hanya kira-kira 40 minit.
Apa yang menarik, kita cuma ‘bawa
badan’ setiap kali sesi selaman skuba.
“Semua peralatan termasuk
tangki skuba diuruskan sepenuhnya
oleh pengendali pusat selam
skuba. Nampak remeh tetapi amat
didambakan penyelam skuba
kerana perkhidmatan profesional
dan berkelas lima bintang ini sukar
diperolehi di lokasi percutian lain
terutama di dalam negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau
memberitahu, perairan Pulau
Tenggol mempunyai 20 lokasi untuk
aktiviti selaman skuba seperti
Teluk Air Tawar, Batu Tokong Laut,
Pulau Nyireh, Tanjung Gemok, Batu
Chachang, Teluk Rajawali, Tokong
Talang, Tokong Burung dan Tokong
Timur.
“Di sebahagian lokasi, kita akan
merasai pengalaman berhadapan
dengan pusaran air seperti berada
di dalam mesin basuh sewaktu
menuruni dasar laut.
“Pengalaman berselam skuba
dengan arus laut yang terdapat di
perairan Pulau Tenggol ini amat
berharga kerana membuatkan kita
amat bersedia untuk menyelam ke
mana-mana sahaja termasuk pusat
selaman terkemuka dunia seperti
Pulau Raja Ampat, Indonesia,”
ujarnya.
Dalam pada itu, pengusaha
Tenggol Coral Beach Resort, Joe Tan Kean Joo berkata, selaman skuba
bukanlah satu-satunya aktiviti riadah
ditawarkan kepada pengunjung yang
bercuti di Pulau Tenggol.
Beliau berkata, pengunjung
yang bernasib baik pasti teruja
menyaksikan aksi kumpulan ikan
lumba-lumba berenang mengelilingi
pulau peranginan tersebut.
“Pulau Tenggol juga lokasi
pendaratan penyu agar dan karah
untuk bertelur. Pengunjung juga
akan ceria mandi-manda, mengutip
cengkerang hidupan laut dan
melakukan aktiviti snorkel di pantai
berteluk yang bersih dan jernih.
“Pengunjung juga boleh melakukan
aktiviti pendakian secara santai
dalam tempoh kurang 15 minit
ke kawasan berbatu bagi melihat
panorama matahari terbenam,”
katanya.
Kean Joo berkata, Tenggol Coral
Beach Resort telah mengambil
inisiatif menjalin kerjasama dengan
agensi pelancongan, BXC Travellers
(M) Sdn. Bhd. bagi mempromosikan
lagi Pulau Tenggol.
Jelas beliau, kerjasama itu
memfokuskan kepada pelancongan
berteraskan pendidikan bagi menarik
lebih banyak pelancongan keluarga di
pulau peranginan terbabit.
“Sebelum ini ramai peminat
selaman skuba berkunjung ke Pulau
Tenggol tanpa membawa anak
masing-masing kerana menyangkakan
ahli keluarga mereka akan kebosanan
di bilik tanpa sebarang aktiviti.
“Oleh itu, kita telah merangka
pelbagai aktiviti pelancongan
berteraskan pendidikan kepada
generasi muda tersebut seperti
kursus asas berenang, bersnokel
dan pembersihan pantai. Golongan
sasaran itu juga akan dikenalkan
dengan spesies flora dan fauna di
dalam hutan berhampiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment