Translate

Monday, November 1, 2021

Sengaja kuatkan bunyi ekzos, 52 penunggang motosikal dikompaun

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Tindakan nakal segelintir daripada 52 anggota konvoi menguatkan bunyi ekzos motosikal masing-masing hingga mengganggu ketenteraman awam membawa padah apabila mereka di tahan polis di Kampung Telaga, Kuala Berang di sini semalam.

Sewaktu ditahan pada pukul 12.18 tengah hari berkenaan, konvoi bermotosikal yang berasal dari Kuantan, Pahang itu dikatakan dalam perjalanan untuk menikmati makan tengah hari di sebuah gerai makan terkenal berhampiran.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, tindakan segelintir anggota konvoi membuat bising dengan menguatkan bunyi ekzos motosikal masing-masing telah mengundang perhatian sepasukan polis yang kebetulan sedang melakukan rondaan trafik.

“Mereka kemudiannya ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas semua penunggang dan motosikal masing-masing telah berjaya mengesan pelbagai kesalahan trafik.

“Antaranya mengubahsuai ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada nombor pendaftaran dan aksesori tidak lengkap,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, selain 67 notis kompaun dikeluarkan, 52 motosikal terlibat juga telah disita dengan kesemua penunggangnya diarah menolak motosikal masing-masing ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Katanya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment