Translate

Saturday, November 13, 2021

DMR sedia kembali bayaran penginapan jika aduan benar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengurusan Duyong Marina & Resort (DMR) bersedia untuk mengembalikan bayaran caj seorang pelanggan sekiranya aduannya tentang bilik penginapan kotor dan rosak yang tular di media sosial terbukti benar.

Pengurus Besar DMR, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, pemeriksaan bagaimanapun mendapati pihaknya tidak pernah menerima aduan berhubung dakwaan itu daripada mana-mana pelanggan sebelum ini.

“Saya telah mengarahkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan itu termasuk meminta kakitangan DMR menghubungi semula pelanggan terbabit bagi mendapat penjelasan lanjut.

“Malangnya, usaha kami mengalami kegagalan kerana nombor telefon individu beralamat dari Kedah tersebut yang dimaklumkan dalam daftar kemasukan bilik penginapan tidak tepat,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengulas perkongsian seorang pengguna Facebook di laman Hotel Review Malaysia tentang dakwaan pengalaman buruknya menginap DMR yang bertaraf empat bintang.

Pengguna Facebook yang menggunakan nama Rania Adira itu mendakwa bilik penginapan tidak diselenggara dengan baik seperti tandas berlumut dan air bertakung serta kerosakan pada bahagian beranda.

Wan Mohd. Faizul berkata, pemeriksaan pihaknya juga mengesahkan pelanggan dikenali sebagai Rania Adira itu menginap di sebuah bilik jenis Deluxe Eksekutif yang berharga RM380 semalam selama lima hari dari 14 Oktober hingga 18 Oktober lalu.

Begitupun beliau memberitahu, tiada sebarang aduan diterima daripada pelanggan itu mahupun ahli keluarganya sepanjang tempoh lima hari penginapan tersebut.

“Sehubungan itu, kami mahu menghubunginya bagi mendapatkan gambaran sebenar. Saya akui fasiliti di DMR sudah lama namun kami tidak akan sesekali memberikan pelanggan menginap di bilik yang sudah rosak.

“Sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) kami untuk melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum pelanggan dibenarkan memasuki bilik penginapan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment