Translate

Tuesday, November 9, 2021

UMT tubuh Pusat Latihan Arkeologi Dasar Laut

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menubuhkan Pusat Latihan Arkeologi Dasar Laut yang pertama di negara ini di Pulau Bidong di sini.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, pusat latihan yang memberi nilai tambah kepada Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT itu menyasar menjadi pusat rujukan penyelidikan arkeologi dasar laut terulung di rantau Asia Tenggara.

“Penubuhan pusat latihan arkeologi ini bertitik tolak daripada artifak berharga daripada serpihan kapal perdagangan karam yang ditemui di perairan Pulau Bidong di sini pada tahun 2017 dan 2018.

“Ia diseramakkan lagi dengan pemilihan pulau ini sebagai lokasi penempatan 11 monumen mini ASEAN di dasar laut oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Warisan semalam,” katanya di sini hari ini.

Mazlan berkata, penemuan artifak berharga di dasar laut perairan Pulau Bidong sebelum ini telah memberi pengalaman dan kepakaran kepada tenaga pengajar UMT tentang teknik konservasi arkeologi dasar laut.

Sehubungan itu, beliau berkata, modul khas sedang disusun sebagai pengajaran dalam kursus terbuka yang akan dilaksanakan di Pusat Latihan Arkeologi Dasar Laut terbabit.

“Penubuhan pusat latihan itu juga diharap dapat merangsangkan lagi penyelidikan berhubung sejarah kapal karam dan pencarian artifak berharga dasar laut di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Perairan Pulau Bidong yang terletak di Laut China Selatan dipercayai pernah menjadi antara laluan utama kapal perdagangan termasuk dari China pada zaman dahulu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment