Translate

Friday, November 5, 2021

Taman eko-rimba, hutan simpan Terengganu mula ditutup

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Semua taman eko-rimba dan hutan simpan di Terengganu ditutup daripada sebarang aktiviti riadah dan rekreasi selama empat bulan bermula hari ini.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, penutupan taman eko-rimba dan hutan simpan sehingga 28 Februari depan itu berikutan ketibaan musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Semua aktiviti rekreasi, pendakian, pemanduan kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya tidak dibenarkan dilakukan di dalam taman eko-rimba dan hutan simpan di negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

“Arahan ini bagi menjamin keselamatan pengunjung daripada sebarang insiden tidak diingini ekoran ketibaan musim tengkujuh,” katanya di sini hari ini.

Roslan berkata, peningkatan taburan hujan disebabkan monsun Timur Laut bukan sahaja membawa risiko banjir malah menyebabkan laluan licin dan fenomena kepala air di kawasan terlibat.

Ujar beliau, tindakan perundangan mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-Pakai) 1986 boleh dikenakan terhadal pihak yang mengingkari arahan tersebut.

“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya. – K! ONLINE


No comments:

Post a Comment