Translate

Wednesday, November 10, 2021

PRN Melaka tidak goyah keutuhan kerajaan Pusat

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan menggoyangkan keutuhan kerajaan Pusat biarpun bakal melibatkan pertembungan sesama sendiri antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelancaran kerajaan Pusat akan berjalan seperti biasa dengan tiada sebarang program kerajaan dilibatkan sepanjang PRN Melaka.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Yaakob) telah umum parti-parti (PN dan BN) akan bertanding dalam konsep parti, lagi pun tidak banyak kempen secara fizikal boleh dibuat.

“Kita rasa perjalanan kerajaan (Pusat) tiada isu sangat selain berharap tiada isu-isu yang tidak diingini berlaku (sepanjang kempen PRN Melaka),” katanya pada sidang akhbar selepas Muktamar Pas ke-67 di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan BN memilih bergerak secara solo dengan meletakkan calon di semua 28 kerusi dipertandingkan sekali gus menyebabkan pertembungan tiga penjuru turut melibatkan PN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka berlangsung 20 November ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim memberi jaminan Pas tidak pernah berhasrat untuk keluar daripada gagasan Muafakat Nasional (MN) yang turut dianggotai UMNO walaupun pertembungan semasa sendiri dalam PRK Melaka tidak dapat dielakkan.

Jelas beliau, MN dianggap sebagai agenda besar penyatuan ummah Islam yang akan dibuka penyertaannya kepada badan bukan kerajaan seperti konsep asalnya.

“Saya rasa tiada siapa hendak keluar (daripada MN) kecuali ia dibubarkan. (Begitupun) setakat ini (Pas dan UMNO) tiada niat hendak bubar (MN),” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment