Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Peniaga di Langkawi, Kedah yang tular awal bulan ini kerana menjual hidangan ikan siakap lebih RM1000 bakal didakwa mengikut Seksyen 53A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga terbabit telah gagal mengemukakan dokumen perniagaan lengkap dikehendaki kementeriannya mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau berkata, peniaga terbabit telah memberi kerjasama baik kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan lengkap dan terperinci.
"Sebelum ini tempoh penghantaran dokumen terperinci terbabit telah dilanjutkan bagi membolehkan peniaga itu membetulkan kesilapan tersebut.
"Begitupun, ia masih tidak dapat dipenuhi sehingga 17 November lalu. Kertas siasatan telah dibuka dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di Taman Pengeluaran Makanan Peradong Manir di sini semalam.
Kosmo! 4 November lalu melaporkan sekumpulan individu terkejut apada mereka terpaksa membayar sebanyak RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tugah kilogram di salah sebuah restoran di Langkawi baru-baru ini.
Kisah ikan siakap kayangan itu kemudiannya menjadi tular selepas resit pembayarannya dimuat naik di laman Facebook sebelum KPDNHEP mengemukakan notis siasatan kepada peniaga terbabit tidak lama kemudian.
Rosol berkata, tindakan terbabit dikenakan ekoran kegagalan peniaga itu menyelenggara dan menyimpan rekod dengan wajar.
Jelasnya peniaga itu akan didakwa Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50.000 atau kompaun RM25.000 jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment