Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengembalikan semula pemberian Dana Raya yang merupakan bantuan kepada rakyat berkelayakan di negeri tersebut sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun hadapan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri berkata, bantuan tersebut yang kini dijenamakan sebagai i-Fitri akan memberi manfaat kepada 115,000 penduduk negeri berkenaan.
“Bantuan i-Fitri berjumlah RM400 kepada setiap 31,500 isi rumah miskin (B40).
“Seramai 83,500 isi rumah yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 (M40) pula akan menerima RM250,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, bantuan tersebut diharap dapat menyokong kewangan isi rumah B40 dan sebahagian M40 agar dapat meraikan Aidilfitri tahun depan dengan lebih meriah setelah dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bantuan tunai sekali bayar RM150 kepada setiap isteri keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU).
“Belia berusia antara 18 hingga 39 tahun dan mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah juga layak menerima bantuan sekali bayar RM150 tersebut.
“Pemberian bernilai RM500 dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan pula akan diberikan kepada 70 pelajar yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibubapa dan penjaga akibat Covid-19,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment