Translate

Sunday, November 7, 2021

Pas bersama PN dalam PRN Melaka

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas berpegang teguh untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan bersedia menghadapi kemungkinan bertembung dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti kekal dengan pendirian PN bakal bertanding di semua 28 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN pada 20 November nanti.

“Terpulang kepada UMNO, dia hendak ikut PN atau bertanding sendiri. Saya memberi amanat kepada akar umbi agar mendukung PN (dalam PRN Melaka) dan Pas telah bersetuju memakai simbol PN.

“Begitupun, kita masih terbuka untuk berunding dengan UMNO (berhubung calon PRN) sehingga hari penamaan calon (pada Isnin ini) tetapi bergantung kepada piagam (PN),” katanya pada sidang akhbar selepas memberikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort, dekat sini hari ini.

Menurutnya, Pas masih berpegang teguh dengan Piagam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini yang membenarkan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, Pas tidak boleh dipaksa dengan gesaan agar kerjasama berkenaan hanya melibatkan partinya dan UMNO kerana ia melanggar piagam yang telah dimenterai itu.

“Kalau UMNO boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC, kenapa tidak boleh kerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, BN telah mengumumkan akan bergerak solo dalam PRN Melaka dan bertanding di semua 28 kerusi pertandingkan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment