Translate

Monday, November 15, 2021

Pertahan perpaduan dalam PN, MN

 

KUALA TERENGGANU – Pas menyeru semua parti yang membentuk kerajaan Persekutuan hari ini terus berusaha mempertahankan perpaduan yang dibina untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

 Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang perpecahan disebabkan sikap tamak, pentingkan diri atau dendam kesumat bakal mendorong keputusan PRU-14 berulang semula. 

“Usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan didambakan. 

“Pas mesti mempelajari pengalamannya menyatukan parti-parti Melayu sebagai teras politik negara termasuk menyelamatkan UMNO yang cedera parah dalam PRU-14 dan Bersatu yang baharu ditubuhkan,” katanya ketika memberikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-67 di sini semalam.

 Abdul Hadi berkata, Pas telah berperanan sebagai pendamai mempertemukan semula kedua-dua parti berkenaan melalui wadah penyatuan MN dan PN. 

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan Pas menolak sebarang usaha untuk membentuk sebarang penjajaran baharu selain MN dan PN. 

“Kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat sehingga berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. 

“Maka, sebarang cadangan lain (penjajaran baharu) laksana tumbuhan liar atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya. 

Abdul Hadi juga menegaskan Pas tidak mahu terkurung dalam sebarang permuafakatan tertutup dan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air. 

Sebaliknya, beliau mahu Pas menjadi pemimpin bersama rakan-rakan parti politik lain sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamat  negara bersama Islam.

No comments:

Post a Comment