Translate

Sunday, November 7, 2021

Perpaduan dalam kerajaan Persekutuan harus dipertahankan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas menyeru semua parti yang membentuk kerajaan Persekutuan hari ini agar terus berusaha untuk mempertahankan perpaduan yang dibina bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang perpecahan disebabkan oleh sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat bakal mendorong keputusan PRU-14 berulang semula.

“Usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan didambakan.

“Pas mesti mempelajari pengalamannya menyatukan parti-parti Melayu sebagai teras politik negara termasuk menyelamatkan UMNO yang cedera parah dalam PRU-14 dan Bersatu yang baharu ditubuhkan,” katanya ketika memberikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-67, di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.

Jelas beliau, Pas telah berperanan sebagai pendamai mempertemukan semula kedua-dua parti berkenaan melalui wadah penyatuan MN dan PN.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan Pas menolak sebarang usaha untuk membentuk sebarang penjajaran baharu selain MN dan PN.

“Kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat sehingga berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.

“Maka, sebarang cadangan lain (penjajaran baharu) laksana tumbuhan liar atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment