Translate

Sunday, October 6, 2024

Terengganu akan gempur besar-besaran premis pelacur

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melancarkan operasi besar-besaran ke atas premis perniagaan di bandar raya ini yang berselindung di sebalik lesen sah untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran. 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, keputusan itu dibuat selepas pembongkaran gadis Thailand berpakaian ala jururawat yang digunakan sebagai pelaris di sebuah premis hiburan oleh imigresen Khamis lalu. 

Katanya, operasi akan dilakukan bersama imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Polis Diraja Malaysia. 

“Pekerja wanita Thailand itu bukan sahaja tidak memiliki permit dan dokumen perjalanan sah, malah premis perniagaan tersebut juga didapati menyalahguna lesen operasi restoran. 

“Ia merupakan premis perniagaan kedua yang dikesan menyalahguna lesen perniagaan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral di bandar raya ini dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya ketika ditemui pada program Cuci Malaysia peringkat Terengganu di Pantai Batu Burok di sini semalam.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Faruk Hussin Tengku Abdul Jalil. 

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam berhubung penahanan 17 wanita warga Thailand berpakaian ala jururawat sewaktu sedang melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini.

 Pemeriksaan mendapati kesemua wanita warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah. 

Rosli berkata, tindakan tegas membatalkan lesen dan menyita premis itu telah diambil serta-merta mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

 “Sebelum ini sebuah pusat refleksologi juga dikenakan tindakan sama setelah didapati menggaji wanita warga asing untuk aktiviti tidak bermoral pada bulan lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment