Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Sebuah kedai runcit yang dilaporkan menjual minyak masak peket melebihi harga kawalan diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kampung Banggol, Tok Jiring di sini semalam.
Serbuan pada pukul 6 petang itu, KPDN berjaya merampas 153 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi bernilai RM382.50.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemeriksaan turut mendapati pengusaha kedai runcit itu tidak memiliki lesen sah untuk menjual minyak masak peket yang merupakan barangan kawalan Pengawal Bekalan Malaysia.
“Bertindak atas laporan Kosmo! kelmarin (Sabtu), seramai empat penguat kuasa KPDN membuat tinjauan terhadap premis berkenaan.
“Siasatan percaya kedai itu menjual minyak masak 1kg pada harga RM2.80 sepeket berbanding RM2.50 seperti yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan pengguna mendakwa terpaksa membeli minyak masak peket sekurang-kurangnya 30 sen lebih mahal berbanding harga kawalan di sebuah kedai runcit di Kuala Nerus.
Saharuddin berkata, pengusaha kedai runcit itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pemeriksaan KPDN mendapati minyak masak peket di Terengganu tidak sepatutnya menjadi isu kerana bekalan adalah mencukupi. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment