Oleh MOHD. AZLI ADLAN. SAHLIZAH MOHAMED, SUHANA MD. YUSOP dan MOHD. AZRIN MUHAMMAD
KUALA LUMPUR – Masalah minyak masak yang melanda seluruh negara sejak beberapa hari lalu semakin meruncing apabila minyak masak dalam botol yang ditarik subsidi turut ‘licin’ di kebanyakan pasar raya dan kedai-kedai runcit.
Tinjauan mendapati, rak-rak yang sepatutnya menempatkan minyak masak berasaskan kelapa sawit dalam botol kosong dan yang tinggal hanya minyak masak berasaskan sayuran, soya atau biji bunga matahari.
Antara minyak masak berasaskan sawit dalam botol yang popular di pasar raya dan kedai-kedai runcit ialah Saji, Sri Murni, Vesawit, Buruh, Alif dan Avena. Semua minyak masak tersebut dijual antara RM9 hingga RM11 bagi botol 3kg manakala bagi botol 5kg biasanya dijual pada harga RM13 hingga RM15.
Di Shah Alam, Selangor, tinjauan Kosmo! di pasar raya di Seksyen 9 dan 13 mendapati rak yang menempatkan minyak masak berasaskan sawit dalam botol tinggal kosong.
Situasi sama berlaku di beberapa pasar mini di Seksyen 8 dan 9 yang di dakwa terputus bekalan sejak empat hari lalu.
Minyak masak berasaskan sayuran, soya dan biji bunga matahari tidak terjejas kerana harga minyak itu lebih mahal berbanding minyak masak berasaskan sawit.
Salah seorang pekerja pasar mini di Seksyen 8 yang enggan dikenali berkata, sejak seminggu lalu, pasar mini tersebut sudah kehabisan bekalan minyak masak peket sebelum diikuti bekalan minyak masak dalam botol.
“Sejak seminggu lalu, pelanggan yang datang akan membeli minyak masak peket atau minyak masak dalam botol sehingga majikan saya terpaksa mengehadkan pembelian hanya dibenarkan kepada dua peket atau dua botol bagi setiap pembeli,” kata pekerja itu ketika ditemui semalam.
Di Kuala Lumpur, beberapa kedai serbaneka di sekitar Bandar Sri Permaisuri mendapati rata-rata kedai masih menunggu stok minyak masak peket dan botol selepas terputus bekalan sejak minggu lalu.
Staf di kedai-kedai tersebut memberitahu, mereka tidak mengetahui harga baharu minyak masak dalam botol yang bakal dijual selepas ini.
Pengurus rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sri Permaisuri, Muhammad Masud berkata, pihaknya masih menunggu stok minyak masak peket dan minyak masak botol berasaskan sawit yang terputus hampir seminggu lalu.
Di Ipoh, Perak, seorang peniaga, Abd. Manas Alias, 58, berkata, premisnya sudah ‘bercuti’ daripada menjual minyak masak peket 1kg selepas stok langsung tidak dihantar oleh pembekal seperti kebiasaannya sehingga semalam.
“Kedai saya juga tidak menerima bekalan minyak masak dalam botol dan pemborong beri alasan bekalan barangan itu sudah kehabisan stok,” ujarnya.
Di Kuala Terengganu pula, tinjauan di beberapa pasar raya besar dan kedai runcit di sekitar bandar raya ini mendapati bekalan minyak masak tidak kira yang bersubsidi mahupun tidak terus berkurangan.
Seorang pengguna di Kuala Terengganu, Saadah Yusof, 33, mengeluh kerana dia sukar membeli minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 walaupun sudah mencarinya di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar rumahnya.
“Pilihan minyak masak botol pula semakin terhad.
“Sebagai contoh, botol 1kg cuma ada jenama Neptune dan Helang yang masing-masing dijual pada harga RM5.40 bagi 1kg,” kata Saadah.
Di George Town, Pulau Pinang, penjualan minyak masak tanpa subsidi turut menerima tempias apabila bekalan bahan itu sukar didapati di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya besar di negeri ini.
Tinjauan di beberapa pusat bandar ini mendapati minyak masak dalam botol 2kg dan ke atas habis dan rak-rak dibiar kosong.
Dalam pada itu, rata-rata peniaga kedai runcit memberitahu, mereka tidak tahu berapa kadar harga minyak masak dalam botol akan dijual selepas ini.
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan harga minyak masak peket 1kg kekal pada harga RM2.50 manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga pasaran tanpa subsidi.
Pengumuman tersebut menyebabkan orang ramai panik dan membeli minyak masak tersebut dalam jumlah yang banyak.
No comments:
Post a Comment