Translate

Saturday, November 5, 2016

Terpaksa serah RM15,000 perompak acu pistol di kepala

BESUT – Seorang wanita menghadapi saat cemas selepas diacu pistol oleh seorang perompak di hadapan rumahnya di Alor Lintang, Kampung Raja di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, penyamun terbabit melarikan wang tunai RM15,000 yang disimpan di dalam beg pinggang milik suami Rosnani Ali Muhammad, 42.

Menceritakan semula detik cemas tersebut, Rosnani berkata, sewaktu kejadian, dia baru hendak membuka pintu hadapan rumah selepas selesai menutup kedai menjual produk sejuk beku milik keluarganya yang terletak bersebelahan.

“Seorang lelaki yang menutup wajahnya dengan topi keledar bertutup muka penuh secara tiba-tiba meluru masuk ke rumah sebelum mengacu sepucuk pistol ke bahagian kanan kepala saya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.

Rosnani memberitahu, sewaktu kejadian, suaminya, Azulhan Che Yusoff, 46, dan dua anaknya yang berusia tujuh bulan dan 21 tahun berada di dalam rumah.

Menurut Rosnani, suaminya yang mengesyaki sesuatu tidak kena selepas mendengar bunyi bising di pekarangan rumah telah bertindak membuka pintu hadapan tersebut.

“Melihat suami saya keluar dari pintu rumah, penyamun itu terus meluru lalu menerkamnya sebelum mendesak agar diserahkan duit. Dia juga mengancam mahu menembak saya sekiranya kemahuannya tidak dipenuhi.

“Demi keselamatan keluarga, suami saya telah menyerahkan beg pinggang yang mengandungi wang tunai hampir RM15,000,” katanya.

Rosnani berkata, sejurus kemudian, penyamun itu bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan di luar rumahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, identiti suspek sedang dikenalpasti dan kes di siasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment