Translate

Wednesday, November 30, 2016

Banjir mula landa Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hujan lebat yang melanda negeri ini selama lebih 16 jam sejak awal pagi telah menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Kemaman dilanda banjir kilat.

Fenomena air pasang setinggi 2.5 meter di perairan Terengganu yang berlaku pada tempoh sama turut menjadi punca kejadian banjir kilat berkenaan yang mula berlaku pada pukul 9.30 pagi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Amirsarifudin Zalman berkata, antara lokasi yang dilanda banjir kilat di bandar raya ini ialah Jalan Pantai Burok, Jalan Kamarudin, Jalan Sultan Omar, Pasir Panjang dan Chabang Tiga di sini selain Tok Jembal dan Kampung Padang Air di Kuala Nerus.

“Sistem perparitan di kawasan-kawasan berkenaan tidak mampu menampung kuantiti air hujan lebat sejak pukul 12 tengah malam tadi (kelmarin).

“Proses pengaliran keluar air hujan itu ke laut juga perlahan kerana paras air pasang yang agak tinggi pada waktu ini sekali gus menjadi punca banjir kilat,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Banjir negeri di sini semalam.

Amirsarifudin berkata, banjir kilat turut melanda Tok Jembal dan Kampung Padang Air, Kuala Nerus; Merchang, Marang; Durian Mentagau, Dungun, Batu 9, Kemasik serta Kilometer 136 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan Kemaman.
Beliau berkata, setakat ini, Jalan Batu Burok, Kilometer 15, Jalan Kemasik-Air Jernih, Kemaman dan Jalan Seranting-Merchang telah ditutup untuk kegunaan kenderaan ringan setelah ditenggelami banjir kilat setinggi 0.4 meter.

“Sebuah pusat pemindahan juga telah dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik dan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong, Kemaman.

“Setakat ini, seramai 72 dan 11 mangsa masing-masing telah ditempatkan di SMK Badrul Alam Shah dan SK Teluk Kalong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirsarifudin menegaskan Sekretariat Pengurusan Bencana negeri dengan kekuatan lebih 3,000 anggota telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan banjir sempena musim tengkujuh terbabit.

Beliau berkata, Bilik Gerakan Banjir negeri juga telah dibuka di Wisma Darul Iman di sini dan akan beroperasi selama 24 jam bermula pukul 3 petang semalam.

“Orang ramai boleh mendapatkan informasi terkini tentang fenomena banjir di Terengganu dengan menghubungi talian 09-623 6655 dan 09-623 6644 atau melayari laman web, etindakan.terengganu.gov.my,” katanya.
Sementara itu, menurut laman web rasmi Jabatan Meteo­rologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca yang lembap di Pantai Timur Semenanjung dijangka berterusan sehingga Di­sember 2016.

Dalam tempoh tersebut, ne­geri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang serta bahagian timur Johor dijangka menerima jumlah hujan melebihi 500 milimeter (mm) berbanding keadaan normal iaitu­ 100mm hingga 300mm. 

No comments:

Post a Comment