Translate

Wednesday, November 30, 2016

Cobra lindungi operasi berisiko

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) akan ditugaskan untuk mengikuti setiap operasi berprofil dan berisiko tinggi bagi melindungi pegawai daripada ancaman dan ugutan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pasukan taktikal tersebut ditubuhkan berikutan terdapat beberapa ancaman dan gangguan yang sering menimpa anggota penguat kuasa sehingga melibatkan kehilangan nyawa sejak akhir-akhir ini.

“Setakat tahun ini sahaja, pegawai dan anggota JKDM termasuk saya sendiri telah menerima sekurang-kurangnya 15 ancaman. Paling serius apabila seorang pegawai kastam cawangan Rantau Panjang maut akibat dirempuh kenderaan milik tonto di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan pada awal Oktober lalu.

“Cobra akan ditugaskan untuk mengikuti setiap operasi berprofil dan berisiko tinggi bagi melindu­ngi pegawai JKDM terlibat selepas ini,” katanya pada majlis pelancaran Cobra di Lapang Sasar Lembah Bidong di sini semalam.

Tambahnya, kebanyakan ancaman dan ugutan tersebut dibuat ke atas pegawai dan anggota JKDM yang bertugas di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran ter­utama Kelantan dan Johor.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu pasukan perintis Cobra dianggotai 23 pegawai agensi tersebut telah menjalani latihan fizikal dan teori di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Ipoh, Perak bermula Julai lalu.

“Anggota pasukan Cobra yang telah dilengkapi dengan kemahiran mempertahankan diri akan memakai topeng muka dan bersenjata api setiap kali keluar bertugas,” katanya.

Khazali berkata, setakat ini, pasukan Cobra akan ditempatkan di ibu pejabat di Putrajaya dan akan diarahkan bertugas di nege­ri-negeri lain mengikut keper­luan.

“Cobra akan diperluaskan ke cawangan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun dan setiap negeri akan mempunyai 25 anggota,” katanya.

No comments:

Post a Comment