Translate

Wednesday, November 2, 2016

Lelaki dituduh bunuh pegawai JPJ

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh bakal abang iparnya pada pertengahan bulan lalu.

Tiada pe­ngakuan direkodkan daripada Mohd. Hafiz Mohamad, 29, dan tertuduh dari Kampung Baloh, Manir dekat sini hanya mengangguk kepala sebagai tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh diwakili peguam bela Mazlan Md. Zain.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafiz didakwa membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, di tempat letak kereta yang terletak di hadapan Kompleks Seri Iman di sini pada pukul 11.39 pagi, 16 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi menetapkan se­butan semula kes pada 4 Disember depan bagi menunggu keputusan laporan kimia dan bedah siasat.

Tiada kelibat ahli keluarga Mohd. Hafiz berada di galeri awam sepanjang prosiding kes tersebut berlangsung selama kira-kira lima minit.
Kosmo! pada 17 Oktober lalu melaporkan Muhamad Shukri yang juga pegawai Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) Pengkalan Kubor, Kelantan maut selepas ditikam enam kali  oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman.

Mohd. Hafiz yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, dipercayai bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu.

Sebelum kejadian, mangsa dan ahli keluarganya menemani Azlina untuk memeriksa status perkahwinan Mohd. Hafiz di Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu.

Selepas kejadian itu, Mohd. Hafiz melarikan diri dengan bantuan seorang rakan menaiki kereta Honda Civic sebelum berjaya diberkas empat hari kemudian dalam keadaan lemah dan kelaparan di Kampung Petai Bubus, Manir dekat sini.

Terdahulu, pemandu kereta Honda Civic tersebut yang berusia 27 tahun telah ditahan di rumahnya di Kampung Buluh Ga­ding, Manir dekat sini beberapa jam selepas insiden berlaku bagi membantu siasatan.

Bapanya saudara lelaki itu yang berumur 55 tahun yang dipercayai membantu menyorokkan kereta tersebut di kawasan padang berhampiran kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir dekat sini turut ditahan tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

No comments:

Post a Comment