Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Penduduk Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini gempar dengan fenomena rumpai laut berwarna merah jambu yang ditemui terdampar di sepanjang pantai perkampungan tersebut sejak tiga hari lalu.
Kehadiran puluhan kilogram rumpai laut yang mengeluarkan bau hanyir itu kira-kira 100 meter di sepanjang pantai berkenaan telah mencetuskan tanda-tanya dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Habsah Muda, 53, berkata, dia dan beberapa penduduk kampung mula menyedari lambakan rumpai laut terbabit pada pukul 12 tengah hari, Jumaat lalu.
“Pada mulanya, kami ingatkan ia sekadar timbunan sampah yang dibawa oleh ombak laut, namun bau hanyir yang dikeluarkan telah menarik perhatian kami.
“Setelah diamati dekat-dekat, ia merupakan rumpai laut yang berwarna merah jambu dan warnanya akan bertukar kepada merah apabila kering. Kuantitinya semakin banyak terdampar di sepanjang pantai mulai awal pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Seorang penduduk lain, Abdul Rahim Abdul Rahman, 52, berkata, rumpai laut berwarna merah jambu tersebut pertama kali dilihatnya sejak menghuni kampung tersebut sejak 27 tahun lalu.
“Selalunya rumpai laut yang dijumpai di sekitar pantai kampung ini berwarna hijau dan putih tetapi tidaklah dalam kuantiti yang terlalu banyak seperti ini. Mungkin keadaan angin kencang dan laut bergelora sejak beberapa hari lalu telah membawa rumpai laut berkenaan ke sini,” katanya.
Muhammad Izzat Syazwan, 18, pula berkata, rumpai laut terbabit seakan-akan menyerupai cebisan permaidani dan ia menyebabkan kulit gatal apabila dipegang.
Dalam pada itu, penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Marin Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu di sini telah mengambil sampel rumpai laut tersebut semalam untuk dianalisis.
No comments:
Post a Comment