Translate

Sunday, November 20, 2016

Impian gadis kudung bergelar graduan tercapai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kesukaran hidup dan trauma kemalangan tidak menjadi halangan buat seorang graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk terus cekal mencapai cita-cita bagi menggenggam segulung ijazah.

Mazira Alias, 30, yang kehilangan empat jari selepas tangan kanannya tersepit pada mesin tebu kira-kira lima tahun lalu berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kaunseling pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-14 di sini hari ini.
Beliau dari Sungai Tong, Setiu berkata, tragedi yang berlaku kira-kira tiga bulan sebelum beliau mendaftarkan diri sebagai pelajar UMT itu telah menguatkan azamnya untuk bergelar graduan berijazah.
"Sebelum itu, saya pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia di Universiti Utara Malaysia pada tahun 2006 tetapi terpaksa berhenti setengah jalan kerana kurang berkemampuan.
"Begitupun saya tidak putus harapan. Saya berniaga menjual pisang goreng dan air tebu untuk mengumpul duit untuk melanjutkan pelajaran namun diuji pula dengan kemalangan yang menyebabkan empat jari saya kudung pada Mei 2011 ," katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah terbabit pada majlis Konvokesyen UMT ke-14 di Dewan Sultan Mizan, UMT di sini hari ini.
Mazira berkata, pujukan dan dorongan ibunya, Normah Mansor, 48, dan bapa tiri, Mohamad Yusof Lee, 76, telah menguatkan dirinya untuk tetap mendaftarkan diri sebagai pelajar UMT pada Ogos 2011 dalam keadaan tangannya masih belum sembuh dan berbalut.
"Saya melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk pembantu dobi, pelayan gerai makanan, penjual sayur, pekerja am dan menjual barangan lusuh sepanjang pengajian untuk membayar yuran dan menampung kos sara hidup.
"Hasil kerja sambilan itu juga, saya dapat membeli sebuah motosikal Honda C70 yang telah diubahsuai bar pemegangnya bagi disesuaikan dengan tangan kanan yang kudung," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment