Translate

Tuesday, July 28, 2026

Sufian sempat beli kit hoki anak

DUNGUN – Arwah Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, yang terkorban dalam nahas mengorbankan empat penunggang motosikal Yamaha RXZ di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Jabor, Kuantan, Pahang semalam sempat menunaikan tanggungjawab terakhir menyediakan kit penjaga gol hoki anak sulungnya. 

Muhammad Aqiff Amsyar, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu berkata, kit penjaga gol hoki terpakai berharga RM2,900 itu baru diterimanya pada minggu lalu. 

“Saya terpilih untuk memasuki projek sukan hoki di SMK Padang Midin pada bulan Februari lalu. “Difahamkan kit penjaga gol hoki terpakai yang dibeli dengan bantuan kawan-kawan ayah (Che Mohd. Sufian) baru dibayar RM1,200, ada baki lagi RM700,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Merah, Paka di sini semalam. 

Muhammad Aqiff Amsyar berkata, arwah bapanya memang menggalakkan dia aktif dalam sukan hoki dengan sering menghantarnya menyertai kejohanan dan sesi latihan sejak sekolah rendah lagi. 

Anak sulung daripada empat beradik yang bercita-cita menjadi penjaga gol hoki kebangsaan berkata, arwah sepatut mengambilnya di asrama untuk keluar bersama-sama ke pusat bandar raya Kuala Terengganu pada semalam.

 “Begitupun, saya tiba-tiba terima panggilan daripada ibu (Faridah Mat Asri, 39) pada pukul 6.30 pagi tadi (semalam) memberitahu ayah sudah tiada akibat kemalangan. 

“Arwah ayah memang selalu menyertai aktiviti konvoi bermotosikal Yamaha RXZ dengan kawan-kawannya. Kadang-kala saya pun ikut sekali,” jelas Muhammad Aqiff Amsyar.

No comments:

Post a Comment