Translate

Friday, July 3, 2026

Harga diesel seragam, nelayan C2 dirayu kembali ke laut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Perikanan Ikan Malaysia (LKIM) berharap penyeragaman harga diesel pada kadar RM2.10 seliter mulai esok dapat merangsang produktiviti nelayan tempatan termasuk kelas C2 atau laut dalam.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, peluang itu harus diambil oleh segelintir pengusaha bot nelayan C2 untuk kembali ke laut setelah terpaksa ‘bercuti seketika’ sebelum ini akibat lonjakan harga diesel.

Beliau berkata, nelayan C2 sebelum ini tidak menerima subsidi bahan api khusus daripada kerajaan berbanding kategori lain iaitu kategori A, B dan C.

“Kita rayu nelayan C2 untuk kembali aktif ke laut (untuk menangkap ikan). Kerajaan telah ambil langkah subsidi diesel dengan menyeragamkan harganya.

“Setakat ini, pelaksanaan awal (Budi Madani Diesel) baru-baru ini menunjukkan penggunaan minyak (diesel) subsidi dalam kalangan nelayan semakin meningkat,” katanya di LKIM Terengganu, Chendering di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 88 nelayan Terengganu pada majlis Rahmah Mesra Madani.

Kosmo! 9 Jun lalu melaporkan 14.25 peratus 400 bot nelayan C2 tempatan memilih ‘bercuti’ sementara daripada menangkap ikan kerana tidak mampu menanggung kenaikan kos operasi akibat lonjakan harga diesel global.

No comments:

Post a Comment