MARANG – Strategi seorang pengusaha durian memperkenalkan pakej makan durian dalam dusun di Kampung Lubuk Batu di sini sejak bulan lalu mendapat sambutan memberangsangkan.
Mohd. Tarmizi Mamat, 39, berkata, setiap hari seawal pukul 9 pagi, dusun miliknya seluas 3.24 hektar dipenuhi pelanggan yang rata-ratanya mahu merasai pengalaman menikmati raja buah secara segar.
“Pakej makan durian ini bermula sejak 2019, namun sambutannya ada pasang surutnya. Namun musim kali ini yang paling meriah sejak tahun 2023.
“Ramai pelanggan yang berkunjung ke sini hingga lewat petang dan hampir satu tan durian telah terjual setiap hari,” katanya ketika ditemui di dusunnya semalam.
Lelaki itu berkata, walaupun kebanyakan buah yang dijual adalah durian kampung, namun ia tetap maris kerana pelanggan mahu merasai pengalaman memakan raja buah beramai-ramai dalam suasana dusun.
Pakej yang ditawarkan adalah serendah RM50 bagi selonggok enam hingga lapan biji durian mengikut saiz.
“Saya sediakan pangkin, pili air, tandas dan tempat letak kenderaan. Di dusun ini terdapat hampir 100 batang pokok. Pelanggan juga boleh membawa tikar,” katanya.
Tambahnya, pelanggan juga boleh menukar buah baharu secara percuma sekiranya durian yang dibeli rosak. Dia turut menyediakan cendol setiap hari, manakala hidangan nasi berlauk ikan singgang pula disediakan pada hujung minggu.
Katanya, pelanggan yang datang ke dusun bukan sahaja dari daerah ini, malah seluruh Terengganu, Johor dan Selangor.
Lelaki itu berhasrat untuk mengembangkan perniagaan bagi menarik lebih ramai pelanggan termasuk dari Lembah Klang selepas Laluan Rel Pantai Timur beroperasi tahun depan.

No comments:
Post a Comment