Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga ikan terpaksa menerima 12 jahitan pada tangan kanannya apabila digigit anak buaya tembaga ketika sedang mengambil wuduk di sebuah paya di Padang Papan, Manir di sini Jumaat lalu.
Kejadian mencemaskan pada pukul 7.25 malam itu berlaku ketika Che Man Zakaria, 61, dia pergi menangkap ikan di paya ber kenaan.
Katanya, sebelum kejadian dia sedang mencangkung untuk mengambil wuduk sebelum mengerjakan solat maghrib.
“Ketika hendak membasuh tangan, tiba-tiba seekor anak buaya dipercayai spesies tembaga seberat lebih 50 kilogram menyambar tangan kanan saya.
“Ia mengakibatkan saya terjatuh ke dalam paya berkenaan yang mempunyai kedalaman 1.7 meter. Saya bernasib baik kerana buaya sepanjang dua meter itu melonggarkan gigitannya dan membolehkan saya berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Che Man yang ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir di sini, menambah, beberapa rakan yang sedang menahan lukah di kawasan berhampiran tergamam dan cuba membantu.
Menurut Che Man, dia menggagahkan diri dalam keadaan tangan kanan berlumuran darah dan bisa terkena gigitan buaya untuk menunggang motosikal pulang ke rumah sejauh 11 kilometer.
“Salah seorang anak membawa saya ke Klinik Kesihatan Manir di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan,” katanya.
Ujar Che Man, dia sudah biasa mencari ikan darat seperti haruan, keli dan belut di kawasan paya di Padang Papan berkenaan sejak 15 tahun lalu.
Dia yang mencari rezeki dengan menjual hasil ikan tersebut di Pasar Manir di sini, mengakui pernah terserempak dengan sekurang-kurangnya tiga ekor buaya termasuk yang menyerangnya sejak awal tahun ini.
“Saya percaya buaya-buaya tersebut terlepas dari Sungai Nerus yang bersambung dengan kawasan paya terbabit akibat limpahan pada musim banjir baru-baru ini.
“Harap orang ramai yang ingin memancing di kawasan paya itu agar berhati-hati. Saya bernasib baik cuma cedera dan tidak dibaham haiwan ganas berkenaan,” katanya.
Che Man berkata, insiden tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari ikan darat kerana itu mata pencarian utamanya menyara keluarga.

No comments:
Post a Comment