KUALA TERENGGANU – Niat seorang penjawat awam wanita untuk memperoleh keuntungan berganda bukan sahaja tidak kesampaian malah menanggung kerugian sebanyak RM22,033.56 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita tersebut tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihatnya di rumahnya di Chendering di sini pada pukul 10 pagi, 15 Jun lalu.
“Iklan skim pelaburan tersebut dilihat mangsa menerusi laman Facebook. Dia kemudiannya berhubung dengan individu tidak dikenali mendakwa kononnya wakil syarikat skim pelaburan tersebut.
“Wanita tersebut yang tertarik dengan tawaran telah membayar RM300 kononnya sebagai modal pelaburan awal menerusi transaksi ke sebuah akaun bank diberi suspek pada 9.24 malam, Khamis minggu lalu,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, penjawat awam tersebut kemudiannya telah dihubungkan dengan individu lain didakwa kononnya pegawai skim pelaburan itu seterusnya memintanya membuat beberapa pembayaran lain secara pindahan bank.
"Transaksi dilakukan secara berperingkat antara 1.57 tengah hari, Jumaat minggu hingga 10.33 pagi semalam (kelmarin).
“Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila diarahkan terus membuat pembayaran lagi biarpun tetap tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya yang memberitahu kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment