KUALA TERENGGANU – Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu merekod keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.6 juta bagi tahun kewangan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhtar Suhaili berkata, ia merupakan kenaikan kira-kira 24.1 peratus berbanding tahun 2024, yang mencatatkan RM16.6 juta.
“Prestasi memberangsangkan ini disumbang oleh peningkatan perolehan sebanyak RM8.1 juta kepada RM411.9 juta,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-45 EPIC di sini, semalam.
Muhtar berkata, pencapaian berkenaan bukan sahaja meneruskan trajektori pertumbuhan positif sejak 2022, malah yang tertinggi sejak penubuhan EPIC pada tahun 1981.
Ia dipacu oleh pengambilalihan Rahar Niaga Sdn. Bhd. serta sumbangan kontrak baharu penyelenggaraan, pentauliahan, dan pengubahsuaian (MCM) serta penyambungan dan pentauliahan (HUC).
“Selain itu, ia turut disumbang oleh peningkatan jumlah kemasukan pelantar luar pesisir dan pertambahan jumlah kendalian kargo di Pengkalan Bekalan Kemaman.
“EPIC terbukti berupaya menjana pertumbuhan keuntungan yang mampan biarpun berhadapan cabaran industri dan ketidaktentuan pasaran pada masa ini,” katanya.
Muhtar berkata, EPIC mengunjur peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus iaitu RM441.3 juta pada akhir tahun ini.

No comments:
Post a Comment