Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Luruan angin kuat dibawa dari Laut China Selatan sepanjang minggu lalu punca hujan lebat luar biasa selama 96 jam yang menyebabkan banjir besar di negeri-negeri selatan tanah air terutamanya di Johor.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, luruan angin kuat itu telah membentuk tekanan rendah membawa kelembapan tinggi di negeri-negeri di selatan tanah air dan barat daya Sarawak.
“Taburan hujan lebat luar biasa tersebut juga berkaitan dengan fenomena La Nina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! melaporkan hujan lebat selama 96 jam sejak 28 Februari lalu telah menenggelamkan banyak kawasan di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak sejak 1 Mac lalu.
Beberapa warga emas di Segamat memberitahu, banjir yang melanda daerah tersebut baru-baru ini antara yang terburuk dan hampir menyamai bah besar tahun 1948.
Jing Xiang berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia juga meramalkan luruan angin membawa hujan lebat tersebut telah berakhir kelmarin.
Jelas beliau, walaupun jarang berlaku, banjir besar pada hujung Monsun Timur Laut bukanlah luar biasa dan ia pernah berlaku di Hulu Terengganu pada akhir Februari tahun lalu.
“Musim tengkujuh hanya akan berakhir pada awal Mac bergantung kepada atmosfera bumi. “Selagi musim tengkujuh belum benar-benar berakhir, kita masih perlu berjaga-jaga tentang kemungkinan taburan hujan lebat yang membawa risiko banjir,” katanya.

No comments:
Post a Comment