SETIU – Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika sedang menguji bot gentian kaca miliknya di Sungai Setiu berhampiran Jeti Kampung Baru Penarik di sini kelmarin.
Bagaimanapun, bot mangsa, Mohamad Harun, 63, ditemui di kawasan pokok paya bakau di seberang sungai kira-kira 650 meter dari jeti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa, Kamriah Ali, 65, pada pukul 7 malam.
Beliau berkata, isteri mangsa memaklumkan kepada pihak polis, suaminya itu tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri lemas.
“Saksi pula menyatakan mangsa sedang membuang air (kecil) dari dalam bot sebelum bot itu berpusing dan menuju ke seberang sungai.
“Namun, saksi tak mengesyaki bot mangsa bermasalah dan terus pulang ke rumah memandang kan hari sudah hampir gelap,” katanya semalam.
Sementara itu, Kamriah berkata, sebelum kejadian suaminya itu memberitahu ingin membaiki botnya yang mengalami kebocoran pada pukul 6.45 petang sebelum mengujinya.
Ujarnya, Mahamad tidak pulang ke rumah hingga pukul 8 malam menyebabkannya berusaha mencarinya sebelum membuat laporan polis.
“Kami sepatutnya bercuti di Kota Bharu semalam (kelmarin), namun membatalkan rancangan itu kerana suami mahu pergi memukat udang bersama seorang rakan,” ujarnya

No comments:
Post a Comment