KUALA TERENGGANU – Restoran Bayu milik Hotel Primula, di sini dinobatkan sebagai Premis Makanan Halal Terbaik sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini.
Anugerah yang julung kali diterima itu membolehkan pengurusan Hotel Primula menerima ganjaran wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan berharga kepada komitmen berterusan kakitangan Restoran Bayu dalam mengekalkan standard halal, kualiti makanan dan kecemerlangan perkhidmatan.
Katanya, ia juga bukti Restoran Bayu sentiasa menitikberatkan aspek halal dalam memberikan pengalaman menjamu selera berkualiti kepada pelanggan.
Premis makanan halal terbaik “Restoran Bayu yang menyajikan hidangan tempatan dan barat telah menerima pensijilan halal daripada pihak berkuasa agama Islam sejak tahun 2010.
“Kami berusaha keras memastikan aspek penyediaan makanan, kebersihan premis serta operasi perkhidmatan mematuhi piawaian ditetapkan sejak 16 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, Restoran Bayu juga telah menjalani transformasi untuk menampilkan wajah baharu pada tahun 2024 yang menawarkan suasana lebih moden, selesa dan mesra pelanggan.
“Di samping itu, kita tetap tidak mengabaikan identiti serta kualiti perkhidmatan yang menjadi keutamaan,” katanya.
Suaibah berkata, pengiktirafan sebagai Premis Makanan Halal Terbaik Terengganu juga akan menjadi motivasi buat pengurusan supaya terus memperkukuh amalan terbaik dalam penyediaan makanan dan perkhidmatan Restoran Bayu.

No comments:
Post a Comment