KUALA TERENGGANU – Inisiatif dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Manir di sini membangunkan aplikasi digital iaitu Sihat, Aktif Manirian (SAM) mendapat pengiktirafan apabila memenangi anugerah Gaya Hidup Sihat Cemerlang AIA daripada firma insurans dan takaful antarabangsa AIA di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Anugerah menerusi pertandingan Sekolah Sihat AIA peringkat Asia Pasifik berlangsung pada 8 Julai lalu tersebut membolehkan aplikasi SAM hasil inovasi dua guru iaitu Zuraidah Hassim dan Najjah Salaamah Jusoh memenangi ganjaran wang tunai RM61,000.
Zuraidah, 45, yang juga guru Sains berkata, aplikasi SAM dibangunkan pada Januari lalu bagi membudayakan amalan hidup sihat bagi menyokong program galakan gaya hidup sihat dalam kalangan murid yang dilaksanakan pengurusan sekolah berkenaan.
“Kita mendapati sebahagian besar murid SK Manir tidak mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten dengan gemar mengambil makanan dan minuman kurang sihat selain kurang aktif.
“Sehubungan itu, pengurusan sekolah telah mengambil inisiatif menggalakkan gaya hidup dalam kalangan pelajar seperti menggalakkan pengambilan air kosong dan minuman prebiotik, bekerjasama dengan klinik kesihatan terdekat serta menganjurkan senamrobik,” katanya di sini semalam.
Zuraidah berkata, aplikasi SAM dibangunkan dengan platform Canva Code bagi memudahkan dan menggalakkan murid SK Manir terlibat merekod usaha mereka mengamalkan gaya hidup sihat terbabit.
Beliau berkata, setakat ini, lebih 300 murid dari tahun dua hingga enam sekolah tersebut sedang memanfaatkan aplikasi SAM berkenaan yang diselitkan dengan elemen gamifikasi seperti penerimaan lencana ‘Raja Air’, ‘Raja Nutrisi’ dan ‘Wira Aktif’.
Sementara itu, Najjah Salaamah, 37, yang juga guru Bahasa Inggeris berkata, anugerah berkenaan bukan sahaja pengiktirafan kepada hasil usaha mereka malah menjadi pemangkin penambahbaikan aplikasi SAM dengan menggunakan ganjaran kemenangan diterima.

No comments:
Post a Comment